Cik Din YP Ride ke Terengganu Bike Week 2019

Pada Jumaat, 29 Mac 2019, Cik Din YP, 74 tahun bersiap-siap untuk ke Terengganu Bike Week 2019 dari Kuala Lumpur. Tepat jam 10:00 pagi, Cik Din YP bersama-sama dua lagi sahabat telah berkumpul di Restoran Nasi kandar Hj Sulaiman, Jalan Rahmat, Kuala Lumpur sebelum memulakan perjalanan ke Terengganu.

Seperti biasa laluan yang digunakan ialah Lebuhraya Pantai Timur dan memandangkan minggu tersebut merupakan minggu cuti persekolahan, kenderaan di LPT agak banyak tidak seperti hari-hari biasa. Walaupun cuaca panas terik, namun itu tidak menghalan pergerakan lancar Cik Din YP. Lebih kurang jam 12:00 tengahari kami tiba di Hentian Rehat Temerloh untuk bergabung dengan seorang ahli RD Club Malaysia dari Temerloh dan juga untuk makan tengahari. Hentian Rehat Temerloh agak padat dengan pengunjung dan kami terpaksa menunggu meja kosong untuk duduk. Selepas menjamu selera lauk ikan patin, kami mengisi petrol di Stesen Minyak Shell dan meneruskan perjalanan sebelum berhenti di Hentian Kijal untuk isian petrol lagi. Perjalanan diteruskan hingga ke Hentian Rehat Paka untuk berehat dan minum sambil solat jamak. Cuaca yang baik melancarkan perjalanan kami.

Lebih kurang jam 7:00 petang kami tiba di Exit Ajil dan terus menuju ke bandar Kuala Terengganu. Kelihatan sudah ramai bikers tiba bagi menghadiri Terengganu Bike Week 2019. Kami terus menuju ke homestay panel kami iaitu Permint D’Binjai Homestay yang terletak Taman Permint Jaya, Chendering, Kuala Terengganu. Selepas mandi dan berehat kami dijemput oleh sahabat RD Club Malaysia Cawangan Terengganu iaitu Lan Lc Tong untuk makan malam setelah penat ride.

Keesokan paginya, kami bersiap-siap untuk minum pagi di Gerai Nasi Dagang Atas Tol yang menjadi sebutan ramai. Gerai tersebut yang menjadi viral memang dikunjungi oleh ramai orang tidak mengira kaum. Ketika kami tiba di sana terdapat dua kumpulan pelanggan kaum cina sedang menikmati nasi dagang di situ. Selain nasi dagang Terengganu, yang menjadi tarikan ialah teh ais madu buih saiz XL. Selesai bersarapan kami menuju ke Pasar Payang bagi membeli buah tangan untuk keluarga di rumah. Sempat juga kami menikmati buah durian dari Thailand yang turut dijual di luar pasar tersebut.

Pada sebelah petang hujan mula turun di setetengah kawasan di bandar Kuala Terengganu. Kami mula bersiap-siap untuk ke Pantai Batu Buruk bagi menghadiri Terengganu Bike Week 2019. Seperti tahun-tahun sebelum ini, event ini menarik ramai pengunjung samada dari kalangan bikers dan bukan bikers. Deretan motorsikal bersusun panjang menyambut kehadiran pengunjung lain. Terdapat juga gerai-gerai jualan yang menjual pelbagai aksesori dan keperluan bikers. Pelbagai aktiviti dan program yang turut diadakan sepanjang bike week ini. Lebih kurang jam 5:00 petang kami beredar dari tapak event untuk pulang ke homestay bagi berehat kerana pada jam 7:00 petang kami akan ke Duyong Marina & Resort bagi menghadiri Makan Malam Gala Terengganu Bike Week 2019.

Makan Malam Gala yang diadakan di Duyong Marina & Resort merupakan kemuncak event. Dengan kehadiran lhampir 3000 bikers, Duyong Convention Centre penuh dengan tetamu bikers yang hadir dari seluruh pelusuk negara. Para pengunjung dijamu dengan makan malam dan juga hiburan oleh penyanyi rock terkenal, Mus May. Acara Makan Malam Gala tamat lebih kurang jam 12:00 tengah malam dan merupakan acara terakhir Terengganu Bike Week 2019. Walaupun kehadiran peserta yang ramai, makanan yang disediakan mencukup malah ada lagi lebihan mee goreng tidak larat dihabiskan oleh peserta. Ini harus dijadikan contoh kepada penganjur bike week yang lain kerana sering didengari rungutan terdapat penganjur yang menyediakan makanan sekadar ala kadar sahaja hingga ada peserta yang langsung tidak dapat makan kerana makanan yang disediakan tidak mencukupi.

Keesokan harinya kami bersiap-siap untuk pulang. Kami sempat singgah di kilang keropok lekor milik sahabat di Chendering membeli buah tangan untuk dibawa pulang.  kami bergerak Seperti biasa, kami menggunakan laluan laluan exit Ajil dan LPT2. Hentian Rehat Paka menjadi pit stop kami untuk minum dan berehat sebelum bergerak ke Hentian Sebelah Kijal bagi  isian petrol. Memandangkan Hentian Rehat Temerloh penuh sesak dengan pengunjung, kami hanya berhenti untuk isian minyak dan berpisah dengan Zaiful, sahabat RD Club Malaysia cawangan Temerloh. Laluan di LPT 1 dan 2 kali ini penuh dengan pelbagai jenis motorsikal yang pulang dari Terengganu Bike Week 2019.

Ketika tiba di Plaza Tol Bentong, hujan turun dengan lebatnya. Namun kami terpaksa meneruskan perjalanan memandangkan keadaan semakin gelap. Laluan pula sesak teruk dari Plaza Tol Bentong hingga ke Plaza Tol Gombak kerana masing-masing mulai pulang ke rumah kerana cuti persekolah sudah tamat. Dengan hujan lebat dan jalan yang jem, kami terpaksa ride dengan berhati-hati. Alhamdulillah kami selamat tiba di Kuala Lumpur dengan selamat. Cik Din YP walaupun basah kuyup dan kesejukan, beliau masih bersemangat untuk ride. Tahniah kepada penganjur Terengganu Bike Week 2019 atas acara yang gemilang.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started