Kembara Malaya Y100

Bermulanya Kembara Malaya Y100 dengan harapan #perangidadahhabishabisan diketahui umum. Satu pilot program anjuran saya Bob YP bersama-sama Skuad AADK – AADK CHERAS dengan tajaan dari Takong Racing & Piratees Apparels. Alhamdulillah program berjaya tanpa sebarang kesulitan. Saya mengembara ke seluruh semenanjung dengan jentera Yamaha Y100 Sports yang berusia 27 tahun yang diberi nama Ziaa.

Ride bermula seawal jam 4:30 pagi, Isnin 20 March 2017. Hari pertama agak mencabar kerana hujan dari awal pagi hingga ke lewat malam. Hentian pertama ialah di stesen minyak di Plaza Tol Jalan Duta bagi isian petrol dan seterusnya di RNR Tg. Malim. Saya agak kelewatan untuk berjumpa dengan belia dan Team Bob Yp di Ipoh akibat hujan yang terlalu lebat. Setibanya saya di Restoran Di Naina, ramai telah menanti ketibaan saya. Setelah selesai sesi minum pagi dan bergambar, saya meneruskan perjalanan ke Penang walaupun lewat 2 jam. Setelah selesai urusan di Penang saya teruskan perjalanan ke Kangar, Perlis yang mana Perlis merupakan satu-satunya negeri yang saya tidak pernah sampai. Alhamdulillah setibanya di Kangar pada jam 6:30 petang sempat saya berjumpa dengan Arif dan Aliff, dua belia yang telah saya janji untuk ketemu dan mereka telah menunggu saya dari jam 4:30 petang lagi di kawasan Keris. Setelah selesai beramah mesra dengan mereka, saya meneruskan perjalanan ke Alor Setar untuk bermalam disana. Tujuan bermalam di Alor Setar adalah kerana lebih mudah dan dekat untuk saya sampai ke exit gurun untuk meneruskan perjalanan ke   Kota Bharu esoknya.

Hari Kedua 21 March 2017

Seawal jam 6:00 pagi lagi saya bertolak ke Kota Bharu melalui kawasan yang tidak semua rider berani tempuhi iaitu laluan Grik-Jeli. Berbekalkan petrol yang telah diisi di dalam botol bagi mengelakkan kehabisan petrol di tengah jalan kerana tiada stesen petrol di antara Grik – Jeli saya meneruskan perjalanan. Ternyata jangkaan saya betul, saya kehabisan petrol semasa di RNR Titiwangsa. Setelah selesai isian petrol, saya teruskan perjalanan ke Kota Bharu. Destinasi pertama saya adalah TMS Motorsport di Machang. Di sana sudah ada beberapa orang belia sedang menanti ketibaan saya, dan saya disambut oleh saudara Tajuddin, pengurus TMS Motorsport. Alhamdulillah perjalanan saya mengikut jadual yang dirancang. Setelah selesai perjumpaan, mereka mengiring saya ke Bandar Kota Bharu untuk sesi bergambar dan minum petang bersama RD Kelantan. Disebelah malam pula saya sempat lagi bersama belia, kali ini dengan Yamaha Lcian Kelantan Crew. Semuanya berjalan dengan baik.

Hari Ketiga 22 March 2017

Hari ini juga bergerak dari Kota Bharu ke Kuantan seawal jam 6:45 pagi. Hentian pertama saya ialah di  Kuala Besut untuk sesi sarapan bersama belia di sana. Alhamdulillah pertemuan berjalan seperti dirancang dan saya seterusnya ke Kuala Terengganu untuk bersama ikon Motorsikal Terengganu, saudara Yoyo Nazli dan belia berkumpul di Yoyo Motorcycle Accesories. Suasana makan tengan hari amat tenang sekali kerana masih dalam waktu yang dirancang. Seselai sesi makan tengah hari saya terus menghala ke Kemaman. Sepanjang jalan penuh kedai jual satar dan keropok lekor jadi sempat juga saya membeli untuk buat bekalan berkelah di tepi jalan. Setibanya di Paka dah ada beberapa belia menanti saya untuk mengiringi saya ke Kemaman. Namun perjalanan saya menjadi perlahan akibat saya agak kepenatan dan terpaksa terus ke Kuantan sebelum matahari terbenam. Setibanya di Kuantan saya disambut oleh saudara Wan Terabas dan beliaumembawa saya pusing-pusing bandar Kuantan dan bergambar di tempat-tempat yang menarik. Dalam masa yang sama, dia sempat membawa saya ke kedai motorsikal Yahooo Motorcycle untuk membaiki jentera saya yang pada ketika itu saya dapati skrew pengikat tong belakang saya sudah patah dan harus dikeluarkan mengunakan mesin drill. Terima kasih Wak Yahooo membantu saya dalam Kembara Malaya saya. Selesai motorsikal siap dibaiki saya dijemput untuk sesi makan malam bersama presiden kelab motorsikal ASAMA Kuantan, saudara Fadil dan juga makan malam di restoran ASAMA. Setelah selesai beramah mesra bersama mereka saya dibawa ke hotel penginapan dan seterusnya sesi santai bersama belia dan Retro Owner Club Kuantan hingga larut malam.

Hari Keempat 23 March 2017

Seawal jam 6:30 pagi lagi hujan sudah membasahi bandar Kuantan.  Memandangkan hujan tiada tanda-tanda reda, pada jam 7:00 pagi saya terpaksa meneruskan perjalanan kerana waktu perjalanan yang harus saya tepati. Jadi sepanjang perjalanan dari Kuantan – Pekan – Kuala Rompin dibasahi hujan. Setibanya saya di Kuala Rompin, saya singgah di Boy Motorcycle untuk menukar minyak enjin motorsikal saya, melaraskan dan meletakan minyak di rantai motorsikal. Dalam masa yang sama saya juga memeriksa penuh keadaan motorsikal saya untuk perjalanan seterusnya. Setelah hujan berhenti saya terus ke Mersing. Di sana saya di sambut oleh saudara Fitri yang mewakili kelab Jupiter Spark Kluang dan Saudara Taufek dari PBNK Rides untuk membawa saya pusing-pusing bandar Mersing. Seterusnya saya menghala ke Johor Bharu, dengan niat untuk terusa ke Tg. Piai tetapi memandangkan pada sebelah petangnya kebiasaan hujan di Johor Bahru maka saya mengammbil keputusan untuk terus ke Bandar Johor Bharu yang sedang meriah menyambut Hari Keputeraan DYMM Sultan Johor. Dapat juga saya mengibarkan bendera Kembara Malaya saya di kawasan yang ramai orang. Ketibaan saya disambut oleh Din Cg dari Team Bob Yp di Hotel. Pada sebelah malam saya bersantai bersama belia di Nasi Lemak Simple hingga larut malam.

Hari Kelima 24 March 2017     

Pada hari terkahir Kembara Malaya, pagi-pagi lagi saya meneruskan perjalanan ke Tg. Piai, dan seterusanya ke Batu Pahat dan Muar walaupun hujan. Setibanya saya di Muar, Cikgu Anuar wakil PBNK R Melaka mengiringi saya ke Bandar Melaka. Di Bandar Melaka saya disambut oleh belia dan bersantai seketika di kawasan Dataran Pahlawan. Oleh kerana masa semakin suntuk, saya teruskan perjalanan ke Putrajaya, Sempat juga saya singgah sebentar di bengkel kawan lama saya, Arie Retro di Masjid Tanah sebelum bergerak ke Port Dickson. Sekadar santai biasa bersama belia di Port Dickson iaitu Arif dan Akmal dari PBNK Rides. Memandangkan hari menjelang petang memasuki waktu senja saya terus ke Putrajaya mengikuti laluan Lukut/Salak Tinggi. Alhamdulillah saya tiba di Putrajaya pada jam 8:35 malam dalam keadaan selamat, dan disambut pula oleh Team Bob Yp dan orang-orang kuat program dari AADK Cheras iaitu En. Hairee dan En. Shukor. Setelah selesai sesi bersama belia dan makan malam saya pun meneruskan perjalanan pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Alhamdulillah semua berjalan lancar dan mesej #perangidadahhabishabisan diketahui ramai. Ucapan jutaan terima kasih pada Takong Racing, Piratees Apparels, AADK Cheras dan Majalah Kapcai – Rock & Ride.

Untuk video penuh boleh saksikan di Youtube

www.youtube.com/mrpbnk

– Bob YP

RD CLUB Malaysia Ride To Penang 2006

Pada  September 2006 yang lepas, RD CLUB telah mengadakan satu konvoi bertemakan hari kemerdekaan ke Penang. Konvoi itu juga adalah dengan tujuan sebagai mengeratkan lagi tali perhubungan antara bahagian pentadbiran RD CLUB dan RD CLUB Utara. Selain daripada itu, konvoi yang mendapat sokongan daripada Jabatan Ketenterama Awam & Trafik Kuala Lumpur adalah bagi mendapatkan maklumat dan bahan seperti rakaman video ‘mat rempit’ bagi tujuan kempen membanteras lumba haram dan gejala rempit RD CLUB Malaysia.

Dengan penglibatan sepuluh penunggang pelbagai motorsikal RD daripada Kuala Lumpur dan Selangor, konvoi bertolak pada jam 3 pagi daripada Medan Selera D’tebing, Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Persinggahan pertama ialah Bandaraya Ipoh di mana konvoin akan berhenti bagi menghadiri majlis perkahwinan adik kepada salah seorang ahli RD CLUB Perak iaiatu saudara Afzal. Konvoi yang tiba jam 5 pagi itu disediakan penginapan sementara oleh saudara Afzal bagi berehat dan membersihkan diri. Lebih kurang jam 12 tengahari, selepas menjamu selera di majlis kenduri tersebut, konvoi bergerak semula menuju ke Pulau pinang. Walaupun hujan lebat melanda di sepanjang lebuhraya antara Sungai Perak hingga ke Bukit Merah, konvoi tetap meneruskan perjalanan dengan berhati-hati.

Konvoi tiba di Butterworth dan terus ke Pokok Sena bagi berjumpa dengan saudara Zulkifli ataupun lebih dikenali sebagai Big John, Pengerusi RD CLUB Penang. Tiba di bengkel Big John, konvoi di sambut mesra dan dijamu dengan laksa penang di gerai salah seorang ahli RD CLUB Penang, Man Balak. Setelah puas menjamu laksa yang lazat itu, konvoi dengan diiringi beberapa ahli RD CLUB Penang bergerak ke jeti feri bagi menaiki feri menuju ke lokasi penginapan iaitu di Batu Feringgi, Pulau Pinang. Tiba di Pulau Pinang, konvoi disambut pula oleh Ahli Majlis Tertinggi RD CLUB Kedah iaitu saudara Pak Lan dan Chang yang sudah menunggu di sana sejak tengahari lagi.

Tiba di lokasi penginapan, sebuah chalet di tepi laut, peserta konvoi mengambil kesempatan berehat sebelum meneruskan aktiviti pada sebelah malam. Lebih kuran jam 9 malam, ahli-ahli RD CLUB Penang yang diketuai oleh Big John telah mula tiba di Batu Feringgi bagi mengiringi konvoi ke bandar Pulau Pinang. Tetapi sebelum itu, aktiviti pertama ialah menjamu selera di restoran nasi kandar. Perjalanan yang tidak berapa jauh itu terasa amat menyeronokkan dengan jalannya yang penuh dengan selekoh-selekoh tajam yang menjadi kegemaran kami yang gemar meratah selekoh. Setelah perut kenyang, konvoi sekali lagi meratah selekoh menuju ke bandar Pulau Pinang. Padang Kota menjadi pilihan bersantai. Nasib kami juga baik kerana kebetulan terdapat sekumpulan ‘mat rempit’ tempatan turut berada disana. Aksi dan gaya mereka yang sengaja mereka tunjukkan pada kami sempat dirakam dan seterusnya menjadi penambahan kepada koleksi dan bahan kempen membanteras lumba haram dan gejala rempit. Setelah masing-masing mulai mengantuk, kami beredar dan seterusnya berpisah dengan RD CLUB Penang yang pulang ke Pokok Sena manakala konvoi kami bergerak ke penginapan iaitu di Batu Feringgi.

Keesokan harinya, konvoi bergerak keluar daripada Batu Feringgi untuk pulang ke Kuala Lumpur. Fendi sebagai ketua konvoi menggunakan jalan Balik Pulau yang penuh dengan pemandangan menarik dan selekoh-selekoh yang tajam. Sempat juga konvoi berhenti untuk makan tengahari di sebuah restoran di tepi jalan. Dalam perjalanan, kami dipintas oleh Pak Lan yang datang dari Sungai Petani khas bagi mengiringi konvoi kami pulang. Beliau juga sempat memandu arah kami untuk berhenti di ‘RV Point’ di atas bukit untuk melihat pemandangan Pulau Pinang. Sempat juga kami mengambil gambar kenang-kenangan sebelum kami meneruskan perjalanan. Daripada Pulau Pinang, kami sekali lagi menggunakan feri memandangkan terdapat sebuah motorsikal yang mengalami kerosakan kecil dan perlu dibaiki di bengkel Big John.

Tiba di pokok Sena, sementara menunggu RD 250 LC tersebut dibaiki, konvoi sempat menziarahi salah seorang ahli RD CLUB Penang, abang Lan yang patah kaki akibat kemalangan dengan motorsikal beliau iaitu Yamaha RD 350 LC. Setelah beramah mesra dan bertanya khabar, konvoi bergerak semula dengan diiringi ahli-ahli Rd CLUB Penang yang lebih kurang seramai 20 orang dan motorsikal, menuju ke tepi pantai yang menjadi tumpuan ramai. Sempat kami berhenti rehat sebentar sambil mengambil gambar kenang-kenangan. Setelah itu, konvoi dibawa mengelilingi Butterworth dan berhenti untuk merasa char kuew teaw Penang. Memandangkan hari sudah menjangkau malam, konvoi terus bergerak ke lebuhraya menuju Kuala Lumpur sambil diiringi ahli-ahli RD CLUB Penang hingga ke Juru. Seterusnya konvoi meneruskan perjalanan dan tiba di Kuala Lumpur dengan selamat lebih kurang jam 4 pagi.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada RD CLUB Utara yang merangkumi RD CLUB Perak, RD CLUB Penang dan RD CLUB Kedah yang sudi memberi bantuan dan layanan penuh mesra. Semoga talian perhubungan yang bagaikan saudara ini akan terus kekal selamanya

Cik Din YP Ride ke Terengganu Bike Week 2019

Pada Jumaat, 29 Mac 2019, Cik Din YP, 74 tahun bersiap-siap untuk ke Terengganu Bike Week 2019 dari Kuala Lumpur. Tepat jam 10:00 pagi, Cik Din YP bersama-sama dua lagi sahabat telah berkumpul di Restoran Nasi kandar Hj Sulaiman, Jalan Rahmat, Kuala Lumpur sebelum memulakan perjalanan ke Terengganu.

Seperti biasa laluan yang digunakan ialah Lebuhraya Pantai Timur dan memandangkan minggu tersebut merupakan minggu cuti persekolahan, kenderaan di LPT agak banyak tidak seperti hari-hari biasa. Walaupun cuaca panas terik, namun itu tidak menghalan pergerakan lancar Cik Din YP. Lebih kurang jam 12:00 tengahari kami tiba di Hentian Rehat Temerloh untuk bergabung dengan seorang ahli RD Club Malaysia dari Temerloh dan juga untuk makan tengahari. Hentian Rehat Temerloh agak padat dengan pengunjung dan kami terpaksa menunggu meja kosong untuk duduk. Selepas menjamu selera lauk ikan patin, kami mengisi petrol di Stesen Minyak Shell dan meneruskan perjalanan sebelum berhenti di Hentian Kijal untuk isian petrol lagi. Perjalanan diteruskan hingga ke Hentian Rehat Paka untuk berehat dan minum sambil solat jamak. Cuaca yang baik melancarkan perjalanan kami.

Lebih kurang jam 7:00 petang kami tiba di Exit Ajil dan terus menuju ke bandar Kuala Terengganu. Kelihatan sudah ramai bikers tiba bagi menghadiri Terengganu Bike Week 2019. Kami terus menuju ke homestay panel kami iaitu Permint D’Binjai Homestay yang terletak Taman Permint Jaya, Chendering, Kuala Terengganu. Selepas mandi dan berehat kami dijemput oleh sahabat RD Club Malaysia Cawangan Terengganu iaitu Lan Lc Tong untuk makan malam setelah penat ride.

Keesokan paginya, kami bersiap-siap untuk minum pagi di Gerai Nasi Dagang Atas Tol yang menjadi sebutan ramai. Gerai tersebut yang menjadi viral memang dikunjungi oleh ramai orang tidak mengira kaum. Ketika kami tiba di sana terdapat dua kumpulan pelanggan kaum cina sedang menikmati nasi dagang di situ. Selain nasi dagang Terengganu, yang menjadi tarikan ialah teh ais madu buih saiz XL. Selesai bersarapan kami menuju ke Pasar Payang bagi membeli buah tangan untuk keluarga di rumah. Sempat juga kami menikmati buah durian dari Thailand yang turut dijual di luar pasar tersebut.

Pada sebelah petang hujan mula turun di setetengah kawasan di bandar Kuala Terengganu. Kami mula bersiap-siap untuk ke Pantai Batu Buruk bagi menghadiri Terengganu Bike Week 2019. Seperti tahun-tahun sebelum ini, event ini menarik ramai pengunjung samada dari kalangan bikers dan bukan bikers. Deretan motorsikal bersusun panjang menyambut kehadiran pengunjung lain. Terdapat juga gerai-gerai jualan yang menjual pelbagai aksesori dan keperluan bikers. Pelbagai aktiviti dan program yang turut diadakan sepanjang bike week ini. Lebih kurang jam 5:00 petang kami beredar dari tapak event untuk pulang ke homestay bagi berehat kerana pada jam 7:00 petang kami akan ke Duyong Marina & Resort bagi menghadiri Makan Malam Gala Terengganu Bike Week 2019.

Makan Malam Gala yang diadakan di Duyong Marina & Resort merupakan kemuncak event. Dengan kehadiran lhampir 3000 bikers, Duyong Convention Centre penuh dengan tetamu bikers yang hadir dari seluruh pelusuk negara. Para pengunjung dijamu dengan makan malam dan juga hiburan oleh penyanyi rock terkenal, Mus May. Acara Makan Malam Gala tamat lebih kurang jam 12:00 tengah malam dan merupakan acara terakhir Terengganu Bike Week 2019. Walaupun kehadiran peserta yang ramai, makanan yang disediakan mencukup malah ada lagi lebihan mee goreng tidak larat dihabiskan oleh peserta. Ini harus dijadikan contoh kepada penganjur bike week yang lain kerana sering didengari rungutan terdapat penganjur yang menyediakan makanan sekadar ala kadar sahaja hingga ada peserta yang langsung tidak dapat makan kerana makanan yang disediakan tidak mencukupi.

Keesokan harinya kami bersiap-siap untuk pulang. Kami sempat singgah di kilang keropok lekor milik sahabat di Chendering membeli buah tangan untuk dibawa pulang.  kami bergerak Seperti biasa, kami menggunakan laluan laluan exit Ajil dan LPT2. Hentian Rehat Paka menjadi pit stop kami untuk minum dan berehat sebelum bergerak ke Hentian Sebelah Kijal bagi  isian petrol. Memandangkan Hentian Rehat Temerloh penuh sesak dengan pengunjung, kami hanya berhenti untuk isian minyak dan berpisah dengan Zaiful, sahabat RD Club Malaysia cawangan Temerloh. Laluan di LPT 1 dan 2 kali ini penuh dengan pelbagai jenis motorsikal yang pulang dari Terengganu Bike Week 2019.

Ketika tiba di Plaza Tol Bentong, hujan turun dengan lebatnya. Namun kami terpaksa meneruskan perjalanan memandangkan keadaan semakin gelap. Laluan pula sesak teruk dari Plaza Tol Bentong hingga ke Plaza Tol Gombak kerana masing-masing mulai pulang ke rumah kerana cuti persekolah sudah tamat. Dengan hujan lebat dan jalan yang jem, kami terpaksa ride dengan berhati-hati. Alhamdulillah kami selamat tiba di Kuala Lumpur dengan selamat. Cik Din YP walaupun basah kuyup dan kesejukan, beliau masih bersemangat untuk ride. Tahniah kepada penganjur Terengganu Bike Week 2019 atas acara yang gemilang.

Teh Tarik Session oleh Pelumba MotoGP 2018

Pada 31 Oktober 2018, telah berlangsung Teh Tarik Session oleh Pelumba MotoGP 2018 anjuran Sepang International Circuit dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia.

Pada program ini, pelumba-pelumba MotoGP akan berkonvoi bermula dari Menara TA One di Jalan Law Yew Swee menuju ke NZ Garden Cafe, KLCC diiringi oleh polis trafik, kenderaan marshall dan rider dari DBKL Bikers Club (DBC) dan Kingz MG Harley. Pelumba-pelumba MotoGP tersebut ialah Danilo Petrucci, Hafizh Syahrin, Khairul Idham Pawi, Niki Tuuli, Ayumu Sasaki dan Adam Norrodin.

Pit stop pertama konvoi ialah persimpangan KLCC dan Jalan Ampang dimana diadakan sessi photo session yang menarik perhatian peminat-peminat yang telah menunggu sejak petang lagi. Dengan berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas memberikan pemandangan yang menarik serta menyerlahkan imej Kuala Lumpur. Setelah selesai sessi photo session, konvoi bergerak ke NZ Garden Cafe, KLCC bagi sessi bertemu peminat dan sessi  autographs. Setelah sessi sidang media, program tamat pada jam 8.15 malam. 

Blog at WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started