Cik Din YP Ride ke Terengganu Bike Week 2019

Pada Jumaat, 29 Mac 2019, Cik Din YP, 74 tahun bersiap-siap untuk ke Terengganu Bike Week 2019 dari Kuala Lumpur. Tepat jam 10:00 pagi, Cik Din YP bersama-sama dua lagi sahabat telah berkumpul di Restoran Nasi kandar Hj Sulaiman, Jalan Rahmat, Kuala Lumpur sebelum memulakan perjalanan ke Terengganu.

Seperti biasa laluan yang digunakan ialah Lebuhraya Pantai Timur dan memandangkan minggu tersebut merupakan minggu cuti persekolahan, kenderaan di LPT agak banyak tidak seperti hari-hari biasa. Walaupun cuaca panas terik, namun itu tidak menghalan pergerakan lancar Cik Din YP. Lebih kurang jam 12:00 tengahari kami tiba di Hentian Rehat Temerloh untuk bergabung dengan seorang ahli RD Club Malaysia dari Temerloh dan juga untuk makan tengahari. Hentian Rehat Temerloh agak padat dengan pengunjung dan kami terpaksa menunggu meja kosong untuk duduk. Selepas menjamu selera lauk ikan patin, kami mengisi petrol di Stesen Minyak Shell dan meneruskan perjalanan sebelum berhenti di Hentian Kijal untuk isian petrol lagi. Perjalanan diteruskan hingga ke Hentian Rehat Paka untuk berehat dan minum sambil solat jamak. Cuaca yang baik melancarkan perjalanan kami.

Lebih kurang jam 7:00 petang kami tiba di Exit Ajil dan terus menuju ke bandar Kuala Terengganu. Kelihatan sudah ramai bikers tiba bagi menghadiri Terengganu Bike Week 2019. Kami terus menuju ke homestay panel kami iaitu Permint D’Binjai Homestay yang terletak Taman Permint Jaya, Chendering, Kuala Terengganu. Selepas mandi dan berehat kami dijemput oleh sahabat RD Club Malaysia Cawangan Terengganu iaitu Lan Lc Tong untuk makan malam setelah penat ride.

Keesokan paginya, kami bersiap-siap untuk minum pagi di Gerai Nasi Dagang Atas Tol yang menjadi sebutan ramai. Gerai tersebut yang menjadi viral memang dikunjungi oleh ramai orang tidak mengira kaum. Ketika kami tiba di sana terdapat dua kumpulan pelanggan kaum cina sedang menikmati nasi dagang di situ. Selain nasi dagang Terengganu, yang menjadi tarikan ialah teh ais madu buih saiz XL. Selesai bersarapan kami menuju ke Pasar Payang bagi membeli buah tangan untuk keluarga di rumah. Sempat juga kami menikmati buah durian dari Thailand yang turut dijual di luar pasar tersebut.

Pada sebelah petang hujan mula turun di setetengah kawasan di bandar Kuala Terengganu. Kami mula bersiap-siap untuk ke Pantai Batu Buruk bagi menghadiri Terengganu Bike Week 2019. Seperti tahun-tahun sebelum ini, event ini menarik ramai pengunjung samada dari kalangan bikers dan bukan bikers. Deretan motorsikal bersusun panjang menyambut kehadiran pengunjung lain. Terdapat juga gerai-gerai jualan yang menjual pelbagai aksesori dan keperluan bikers. Pelbagai aktiviti dan program yang turut diadakan sepanjang bike week ini. Lebih kurang jam 5:00 petang kami beredar dari tapak event untuk pulang ke homestay bagi berehat kerana pada jam 7:00 petang kami akan ke Duyong Marina & Resort bagi menghadiri Makan Malam Gala Terengganu Bike Week 2019.

Makan Malam Gala yang diadakan di Duyong Marina & Resort merupakan kemuncak event. Dengan kehadiran lhampir 3000 bikers, Duyong Convention Centre penuh dengan tetamu bikers yang hadir dari seluruh pelusuk negara. Para pengunjung dijamu dengan makan malam dan juga hiburan oleh penyanyi rock terkenal, Mus May. Acara Makan Malam Gala tamat lebih kurang jam 12:00 tengah malam dan merupakan acara terakhir Terengganu Bike Week 2019. Walaupun kehadiran peserta yang ramai, makanan yang disediakan mencukup malah ada lagi lebihan mee goreng tidak larat dihabiskan oleh peserta. Ini harus dijadikan contoh kepada penganjur bike week yang lain kerana sering didengari rungutan terdapat penganjur yang menyediakan makanan sekadar ala kadar sahaja hingga ada peserta yang langsung tidak dapat makan kerana makanan yang disediakan tidak mencukupi.

Keesokan harinya kami bersiap-siap untuk pulang. Kami sempat singgah di kilang keropok lekor milik sahabat di Chendering membeli buah tangan untuk dibawa pulang.  kami bergerak Seperti biasa, kami menggunakan laluan laluan exit Ajil dan LPT2. Hentian Rehat Paka menjadi pit stop kami untuk minum dan berehat sebelum bergerak ke Hentian Sebelah Kijal bagi  isian petrol. Memandangkan Hentian Rehat Temerloh penuh sesak dengan pengunjung, kami hanya berhenti untuk isian minyak dan berpisah dengan Zaiful, sahabat RD Club Malaysia cawangan Temerloh. Laluan di LPT 1 dan 2 kali ini penuh dengan pelbagai jenis motorsikal yang pulang dari Terengganu Bike Week 2019.

Ketika tiba di Plaza Tol Bentong, hujan turun dengan lebatnya. Namun kami terpaksa meneruskan perjalanan memandangkan keadaan semakin gelap. Laluan pula sesak teruk dari Plaza Tol Bentong hingga ke Plaza Tol Gombak kerana masing-masing mulai pulang ke rumah kerana cuti persekolah sudah tamat. Dengan hujan lebat dan jalan yang jem, kami terpaksa ride dengan berhati-hati. Alhamdulillah kami selamat tiba di Kuala Lumpur dengan selamat. Cik Din YP walaupun basah kuyup dan kesejukan, beliau masih bersemangat untuk ride. Tahniah kepada penganjur Terengganu Bike Week 2019 atas acara yang gemilang.

Cik Din YP Jelajah Kelantan

Pada 6 hingga 10 Julai 2017, Cik Din YP sekali lagi meneruskan misi ride beliau ke Kelantan memenuhi jemputan dari VKB menghadiri Kelantan International Bike Week 2017 yang diadakan di perkarangan Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.

Dengan diiringi oleh Presiden RD Club Malaysia, Azhanyzam bin Zakaria, Cik Din YP mula bertolak ke Kelantan pada pagi 6 Julai 2017 dari Kuala Lumpur pada jam 11:30 pagi. Diiringi cuaca yang baik, perjalanan lancar melalui Lebuhraya Pantai Timur. Kami tiba di Hentian Rehat Temerloh jam 1:30 tengahari dan berhenti untuk makan dan merehatkan badan.

Perjalanan diteruskan semula dan kali ini perhentian seterusnya ialah di Petronas Hentian Gambang pada jam 3:30 petang bagi isian petrol. Tangki diisi sepenuhnya kerana perhentian seterusnya ialah di Hentian Sebelah Kijal dimana terdapat satu stesyen minyak mini iaitu satu-satunya stesen minyak terakhir di Lebuhraya Pantai Timur. Setelah mengisi petrol, kami berhenti di Hentian Rehat Paka pada jam 5:30 petang bagi minum dan merehatkan badan.

Dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu dari Hentian Rehat Paka, hujan turun dengan lebatnya. Kami memasuki susur masuk Kuala Telemong hingga ke Rusila. Alhamdulillah kami tiba di Homestay Binjai, Chendering pada jam 7:00 petang. Pada sebelah malam kami berehat kerana keesokan paginya kami akan bertolak ke Kota Bahru pula.

Pada 7 Julai 2017, kami bersiap-siap untuk ke Kota Bahru. Sebelum bergerak kami singgah di untuk minum pagi bersama-sama dengan Lan Lc Terengganu. Perjalanan diteruskan melalui laluan Gong Badak dan pesisir pantai. Perjalanan agak selesa kerana laluan agak lengang memandangkan cuti hujung minggu di Pantai Timur. Pemandangan pantai di Penarik memberi semangat baru pada kami untuk ride. Kami berhenti di Medan Selera Permaisuri untuk makan tengahari sebelum meneruskan perjalanan kami ke Kota Bahru. Kami tiba di Kota Bahru pada jam 3:00 petang dan terus ke perkarangan Stadium Muhammad. Pada jam 5:00 petang berlangsung acara perasmian Kelantan International Bike Week 2017. Cik Din YP dengan bantuan dari Amin Hj MatDaud, sahabat dari Golok Riders Club (GRC) berjumpa dengan pengacara majlis mengutarakan hasrat menyerahkan cenderamata kepada Menteri Besar Kelantan yang dijadualkan merasmikan event tersebut. Walaupun Menteri Besar tidak dapat hadir petang itu kerana ada acara di Pahang, Cik Din YP berjaya menyerahkan cenderamata kepada wakil Menteri Besar iaitu Datuk Abdul Fattah Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan.

Cik Din YP turut mendapat tumpuan media yang menemubual pengalaman beliau ride dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru sejauh 600 km di usia 72 tahun. Para pengunjung KIBW juga tidak melepaskan peluang bergambar dengan Cik Din YP. Rata-rata kagum dengan semangat Cik Din YP yang masih bersemangat untuk ride dalam jarak yang jauh itu. Pada sebelah petang kami check in di penginapan kami iaitu D Villa Inn. Selepas maghrib, sahabat kami, WAdi PT berkunjung ke penginapan kami bagi menghantar nasi kukus untuk makan malam kami.  Memandangkan kepenatan ride selepas menjamu selera kami menghabiskan masa dengan berehat sepanjang malam.

Pada keesokan harinya jam 9 pagi kami bergegas ke perkarangan Stadium Muhammad IV bagi menyertai konvoi ke Maahad Tahfiz Darul Ulum di Kampung Meranti, Pasir Mas bersama Dato’ Awie. Selesai konvoi, kami bergerak dengan dipandu arah oleh bro Hamizan ke Pulau Melaka bagi menziarahi pusara Almarhum Tuan Guru Nik Aziz, mantan Menteri Besar Kelantan yang disayangi semua. Disana kami sempat berdoa dan sedekahkan ayat Al Quran untuk Almarhum. Selepas itu kami ke Masjid Pulau Melaka untuk solat zuhur. Memandangkan kami belum menjamah makanan lagi, bro Hamizan membawa kami ke Kedai Din Raja Air Nyiur bagi makan tengahari. Selepas itu kami ke hotel penginapan bagi berehat. Pada sebelah malam pula kami dibawa oleh bro Faisan ke Wakaf Che Yeh dan makan malam di Samme Maggi Tiram berhadapan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa.

Pada Ahad, 9 Julai 2017, seperti yang dijadualkan, kami akan bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Awal pagi lagi kami mendapat panggilan dari Wadi PT meminta kami ke Pasir Hor untuk sarapan pagi. Tiba di Pasir Hor, membawa kami ke Ja Nasi Ayam Kampung Madu. Ingatkan sarapan pagi yang ringan rupanya kami dijamu dengan nasi putih berlaukkan ayam kampung bermadu dan teh ais madu. Alhamdulillah rezeki kami.

Selepas makan kami kembali ke penginapan bagi bersiap untuk check out. Sebelum bergerak sahabat kami Faisan singgah berjumpa kami lagi bagi memberi kami sebungkus besar keropok sira. Itulah keindahan rakyat Kelantan yang kami alami sendiri iaitu mereka memuliakan dan melayan tetamu dengan cukup baik sekali. Itupun ramai lagi sahabat Kelantan yang ingin bertemu dengan kami namun gagal disebabkan kami kesuntukan masa.

Kami bergerak ke Terengganu pada jam 12:30 tengahari dan berhenti di Besut untuk minum dan bertemu dengan sahabat Sha Reza di situ. Dalam perjalanan selepas Besut kami terpaksa menempuh hujan yang lebat. Namun hujan berhenti di Permaisuri dan kami berhenti di pantai Penarik bagi berehat dan makan petang. Selepas bergambar seketika di tepi pantai Penarik kami meneruskan perjalanan dan tiba di Homestay Binjai, Chendering, Kuala Terengganu pada jam 6:00 petang. Kami berehat bagi mendapatkan tenaga untuk ride ke Kuala Lumpur keesokan harinya.

Keesokan paginya selepas minum pagi bersama Lan Terengganu di gerai hadapan homestay, kami bergerak ke Kuala Lumpur melalui laluan LPT2. Sempat lagi kami singgah di kedai keropok di Rusila bagi membeli keropok sebagai buah tangan. Cuaca yang agak redup melancarkan perjalanan kami. Namun apabila tiba di Karak, hujang turun dengan lebatnya hingga ke Hentian Tol Gombak. Kami tiba di Hentian Tol Gombak pada jam 5:00 petang. Memandangkan hari tersebut merupakan hari bekerja, jalan agak sesak dengan kenderaan. Kami tiba dirumah masing-masing pada jam 7:00 petang setelah menempuh perjalanan sejauh 1200 km pergi dan balik. Alhamdulillah Cik Din YP masih bertenaga setelah ride sejauh itu malah masih bersemangat untuk ride jauh lagi. Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada penaja, penyumbang dan penyokong iaitu Wan Sri Changgung, bro Sham Bedoqstar, Aley Jim, Faisan Ismail, Wadi PT, Jazman Jernail Singh, Lan LC Terengganu, Hamizan, Homestay Binjai, VKB, Amin Hj MatDaud dan bro Abu Zaki Abu Bakar.

Cik Din YP, 74 tahun Ride ke Sg Golok Motoday 2019 Vol 1 Part 1

Bersempena dengan event Sg Golok Motoday 2019 Vol 1, pihak penganjur telah menjemput Cik Cin YP, 74 tahun bagi menghadiri event tersebut. Sehubungan dengan itu, Cik Din YP telah mengadakan ride ke Sg Golok, Thailand dari Kuala Lumpur pada 28 Jun 2019. Ditemani oleh saudara Azhanyzam iaitu Presiden RD Club Malaysia, ride bergerak dari Restoran Sulaiman Nasi Kandar, Jalan Rahmat off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur (Tabong Hj Lama) pada jam 11 pagi Jumaat tersebut.

Perjalanan diiringi cuaca baik berjalan lancar hingga ke Hentian Rehat Temerloh dimana ride bergabung dengan sahabat RD Club Malaysia Cawangan Temerloh iaitu saudara Zaiful. Setelah menjamu selera dengan masakan terkenal Temerloh iaitu ikan patin, ride bertolak ke Terengganu. Seperti biasa Petronas Hentian Rehat Gambang menjadi lokasi rehat dan menyejukkan enjin dan Hentian Sebelah Kijal menjadi lokasi mengisi petrol. Setelah menempuh perjalanan lebih kurang 70 km dari Hentian Sebelah Kijal, Hentian Rehat Paka menjadi destinasi perhentian untuk solat dan minum sambil berehat.

Selepas bergerak dari Hentian Sebelah Paka, lebih kurang satu kilometer terdapat sekatan jalanraya daripada operasi bersepadu pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kami memberikan kerjasama dalam pemeriksaan tersebut malah Cik Din YP menjadi tumpuan pegawai JPJ tersebut lebih-lebih lagi Cik Din YP menunjukkan lesen memandu beliau yang dikeluarkan pada tahun 1970. Ada pegawai JP tersebut yang mengambil peluang untuk bergambar bersama Cik Din YP. Setelah bersalam-salaman dengan pegawai JPJ tersebut kami meneruskan perjalanan kami ke Kuala Terengganu. Lebih kurang jam 7.00 petang, kami tiba di penginapan tetap kami di Terengganu iaitu Binjai Homestay. Pada sebelah malam kami menggunakan masa yang ada untuk berehat bagi meneruskan perjalanan keesokan harinya.

Pada hari kedua iaitu Sabtu, 29 Jun 2019 kami bangun seawalnya bersedia untuk ride ke Sg Golok, Thailand dari Terengganu. Kami bersarapan dahulu di gerai makan hadapan homestay dan disertai sekali oleh pemilik Binjai Homestay yang memang mesra dan baik. Menu nasi lemak lauk gulai itik memang menjadi pembuka selera yang amat sukar didapati di Kuala Lumpur.

Setelah bersiap, kami check out dari homestay lebih kurang jam 11.00 pagi dan bertolak ke Sg. Golok dan cadangannya melalui laluan biasa iaitu Jalan Pantai. Cuaca ride kali ini agak panas tanpa hujan setitikpun dan ini menyebabkan badan kami agak penat. Setiap kali berhenti kami terpaksa minum air dengan banyak bagi mengatasi masalah kekeringan air dalam badan yang amat merbahaya terutama ketika ride. Kami berhenti di Pantai Penarik untuk rehat. Destinasi restoran tepi pantai yang menjadi pilihan kami ialah Ombak Pantai Celup Tepung. Alang-alang singgah kami memesan udang celup tepung yang menjadi juadah popular di Terengganu. Udang yang segar tersebut memberi tenaga pada kami untuk meneruskan ride.

Kami menggunakan laluan Tok Bali, Bachok dan Kubang Kerian memasuki Bandar Kota Bharu. Di Jalan Pasir Hor, Kota Bharu laluan sesak dengan kereta dan dengan cuaca yang panas, suhu enjin motorsikal kami naik mendadak menyebabkan kami terpaksa berhenti di Petronas Bandar Baru Tunjung, 48 minit perjalanan ke Sg Golok. Kami mengambil kesempatan sambil menyejukkan suhu enjin motor dengan melepaskan penat dan minum setelah ride sejauh 169 kilometer. Setelah hilang penat, kami meneruskan perjalanan. Tiba di Rantau Panjang, kami singgah di Stesen Bas Express Rantau Panjang untuk mengisi perut di gerai mee celup siam. Setelah kenyang, kami memasuki ke sempadan melalui Kompleks Imigresen Rantau Panjang. Urusan imigresen kami berjalan lancar tanpa apa-apa masalah. Kami terus ke hotel penginapan kami iaitu Genting Hotel. Disana kami disambut oleh sahabat kami iaitu abang Pozi, warga Sg Golok. Hotel ini menjadi pilihan kami kerana terletak bersebelahan pasar basar memudahkan kami membeli barangan yang dipesan oleh isteri masing-masing. Gerai makan yang banyak juga memudahkan kami makan dan yang penting ia dekat dengan sempadan. Setelah check in hotel kami berehat dan membersihkan diri sebelum makan malam di gerai bersebelahan hotel. Selesai makan malam, Cik Din YP berhasrat membeli durian Siam maka kami membeli sebiji durian dengan harga RM40. Cara pembungkusan isi durian menggunaka plastik menarik perhatian kami malah boleh dibawa ke bilik hotel tanpa berbau. Pada malam tersebut kami menghabiskan masa dengan berehat setelah kepenatan ride.

Bersambung…..

‘Come Ride With Us’

Cik Din YP, 74 tahun Ride Dari Kuala Lumpur ke Pattani, Thailand

Cik Din YP, 74 tahun Ride Dari Kuala Lumpur ke Pattani, Thailand

Pada 10 Januari 2019, sekali lagi Cik Din YP yang berumur 74 tahun berhasrat untuk ride dalam jarak yang jauh setelah lama tak ride sejak ke Sg Golok Bike Week pada tahun 2017. Jika sebelum ini ride dari Kuala Lumpur ke Sg Golok, Thailand ialah sejauh 1268 km pergi dan balik, kali ini Cik Din YP ingin mengadakan ride dari Kuala Lumpur ke Pattani yang akan menempuh perjalanan sejauh 1600 pergi dan balik. Tujuan utama ride ini adalah bagi menziarahi tiga masjid bersejarah iaitu Masjid 300 Tahun di Kampung Teluk Manok, Wilayah Bacho, Narathiwat, masjid kedua iaitu Masjid Jamek Pattani, Anoru, Mueang Pattani District dan masjid ketiga iaitu Masjid Kerisik di Tambon Tanyong Lulo, Amphoe Mueang Pattani, Chang Wat Pattani 94000, Thailand. Seperti biasa Cik Din YP akan diiringi oleh saya sebagai guide dan juga peneman. Cik Din YP menggunakan motorsikal beliau iaitu Yamaha RD 250 YPVS tahun 1983 manakala saya menggunakan Suzuki GSX 750 Inazuma. Alhamdulillah ride kami mendapat sedikit sumbangan dan sokongan dari A ZHAR Group, Dato Azhar, KK Batang Kali, Jaa Mumin dan rakan yang lain.

Pada hari pertama ride, Khamis 10 Januari 2019, kami rv seperti biasa di Restoran Nasi Kandar Hj Sulaiman, Tabong Hj Lama, Jalan Rahmat Off Jalan Ipoh Kuala Lumpur. Pada jam 12 tengahari kami mula bergerak melalui Lebuhraya Pantai Timur terus ke Hentian Rehat Temerloh tanpa berhenti.  Kami tiba di Hentian Rehat Temerloh pada jam 1.15 tengahari masa yang sesuai untuk makan tengahari dan seterusnya solat jamak. Sebelum bergerak kami mengisi penuh tangki dengan petrol dan meneruskan perjalanan hingga ke Hentian Sebelah Kuantan untuk berehat dan menyejukkan enjin. Seterusnya kami teruskan perjalanan hingga ke Hentian Sebelah Kijal untuk isian petrol dan berhenti di Hentian Rehat Paka untuk minum dan berehat. Perjalanan diteruskan dan kami memasuki exit Ajil pada jam 6.45 petang dan terus ke penginapan kami di Binjai Homestay yang terletak di Chendering, Kuala Terengganu. Homestay ini merupakan persinggahan wajib kami kerana kemudahan dan persekitarannya yang selesa serta dimiliki oleh pasangan suami isteri yang baik.

Pada hari kedua Jumaat 11 Januari 2019, awal pagi kami telah bangun dengan hasrat untuk bersarapan di gerai makan hadapan homestay tapi hampa kerana gerai tersebut tutup. Baru teringat hari ini hari Jumaat merupakan cuti mingguan bagi negeri Terengganu. Kami terus bersiap-siap untuk meneruskan perjalanan ke Sg Golok. Saya pula perasan tayar belakang motor saya kempis. Setelah diperiksa didapati terdapat lubang kecil pada tampalan cacing yang lama. Saya terus ke stesen minyak Petronas berdekatan untuk mengepam tayar. Moga ada  kedai tayar yang buka untuk saya selesaikan masalah saya itu. Saya dan Cik Din YP meneruskan perjalanan melalui laluan Terengganu – Kota Bharu menempuh Jambatan Sultan Mahmud,  Jalan Tengku Mizan Route 65 dan Jalan Merang. Kami berhenti di medan selera hadapan Shell Jalan Merang untuk minum pagi. Beberapa kali saya berhenti di stesen minyak untuk top up angin pada tayar belakang saya di sepanjang perjalanan memandangkan tiada kedai tayar dan motorsikal yang dibuka. Kami menggunakan laluan persisiran pantai Terengganu iaitu melalui Penarik, Kuala Besut, Tok Bali, Bachok dan terus ke Kota Bharu sebelum masuk ke Rantau Panjang dan laluan ini menjadi pilihan kami kerana lebih selesa dan tiada banyak kenderaan. Mujur sebelum bulatan ke Pasir Mas dan Rantau Panjang terdapat sebuah kedai tayar yang dibuka dan saya dapat menyelesaikan masalah tayar motor saya dan meneruskan perjalanan dengan selesa. Tiba di Rantau Panjang, kami terus ke gerai makan di Stesen Bas Rantau Panjang untuk mengisi perut. Mee celup menjadi pilihan kami sambal berehat seketika. Setelah kenyang, kami ke Stesen Minyak Petronas Rantau Panjang bagi mengisi petrol penuh-penuh sebelum masuk ke sempadan. Ketibaan kami di Pekan Sg Golok disambut oleh Amin Hj Mat Daud dan Eddy dari Golok Riders Club serta brader Zaki yang turut berada di Sg Golok. Kami dibawa ke butik bikers milik Amin Hj Mat Daud untuk berehat sebelum check in di hotel. Saya sempat dibawa oleh Eddy untuk menukar matawang Thailand. Dengan RM300 saya hanya dapat menukar sebanyak 2311.18 bath sahaja kerana matawang RM telah turun.

Saya dan Cik Din YP memilih Hotel Genting Sg Golok sebagai penginapan kami kerana harga bilik yang lebih murah dan kami telah biasa menginap di sini. Setelah berehat dan solat kami dijemput oleh Amin dan Eddy untuk makan malam. Restoran tomyam muslim menjadi pilihan lagi-lagi restoran ini menyediakan sup tulang yang sedap menjadi kegemaran Cik Din YP. Setelah kekenyangan kami dibawa ke kedai handphone bagi membeli sim kad Thailand dan seterusnya singgah di café di persimpangan jalan 4057 untuk minum pula. Selepas puas minum dan berbual, kami kembali ke hotel untuk tidur dan berehat untuk meneruskan perjalanan esok pagi ke Masjid 300 Tahun.

Day 3. Sabtu, 12 Januari 2019.

Hujan lebat mengejutkan kami dari tidur dipagi hari di Pekan Sg Golok.  Pada jam 9 pagi, hujan mula berhenti dan kami check out dari penginapan di Hotel Genting. Sebelum bergerak ke Pattani kami sempat bersarapan pagi bersama Amin Hj Mat Daud dan Eddy di gerai malam tadi.

Pada jam 10 pagi, kami meneruskan perjalanan menuju ke Pattani. Memandangkan hari tersebut merupakan hari kanak-kanak antarabangsa dan Thailand turut menyambutnya dengan cuti umum. Banyak carnival dan program diadakan di sekolah-sekolah sepanjang perjalanan kami. Anggota tentera dan polis turut berada berkawal di luar kawasan sekolah tersebut. Namun tiada apa yang perlu dibimbangkan. Kami hanya membuka visor helmet dan memberikan senyuman mesra ketika melalui lokasi dan pihak polis dan tentera akan senyum semula sambil mengangkat tangan.

Perjalanan kami diiringi dengan cuaca mendung dan hujan renyai di beberapa tempat. Tiba di Desa Teluk Manok, hujan turun dengan lebatnya namun berhenti bila kami tiba di Masjid 300 Tahun. Berdasarkan sejarah, masjid berkenaan dibangunkan pada awal abad ke-17 pada zaman kerajaan Pattani. Kami sempat bergambar dan mengambil video untuk tatapan para riders di Malaysia. Setelah berehat selama setengah jam kami meneruskan perjalanan menuju ke Pattani. Perjalanan kami diselangi dengan hujan dan panas.

Pada jam 12.15 tengahri kami tiba di Pekan Pattani dan terus ke Masjid Jamek Pattani yang cantik. Masjid yang mendapat jolokan Taj Mahal Thailand itu dibina pada 1954 dan ia mengambil masa selama sembilan tahun untuk selesai dibina. Seni binanya nyata mempunyai persamaan dengan bangunan simbol cinta di India itu kerana mempunyai kolam besar yang panjang di hadapan pintu masuk utamanya. Bangunan cantik itu mempunyai kubah yang besar selain dikelilingi empat yang lebih kecil dan dua menara. Masjid ini juga mengandungi ruang solat yang besar dan koridor panjang untuk kemudahan pendudukan Islam di Pattani. Kebetulan ketika itu sedang berlangsung majlis bacaan kitab, jadi masjid dipenuhi dengan jemaah hingga ke luar masjid. Setelah minum dan solat jamak kami bergerak keMasjid Kerisik yang terletak di laluan menujun ke Sg Golok. Memandangkan kami tiba awal di sini, kami mengambil keputusan untuk terus pulang ke Malaysia selepas menziarahi Masjid Kerisik. Ini bagi menjimatkan masa dan juga wang.

Dalam perjalanan ke Masjid Kerisik hujan turun dengan lebatnya dan kami hanya dapat melihat kawasan sekitar sahaja kerana pakaian kami telah basah dan tidak dapat masuk ke dalam masjid. Masjid Kerisik terletak di Krue Se, Wilayah Pattani. Masjid ini merupakan yang pertama di Asia Tenggara dibina dengan menggunakan bata merah buatan kampung Tarab Bata, sekarang di kawasan Gamia Daerah Muang Wilayah Patani. Nama tempat ini dipanggil Kerisik dalam kalangan orang Melayu yang membawa makna pasir kasar. Malah kawasan masjid ini berada dalam Tanyong Lu Lo (Bahasa Thailand) atau pun Tanjung Luk Luk (sebutan Melayu). Kedudukan masjid ini di Tanjung Luk Luk menggambarkan keharmonian dan keindahan tempat ini suatu ketika dahulu. Luk Luk diambil daripada perkataan Arab yang bermakna mutiara. Apabila matahari menyimbah bumi, pasir-pasir pantai ini gemilap seperti mutiara. Indahnya tidak terkira. Tapi sayang, kawasan ini sentiasa menjadi mangsa perebutan kuasa pemerintah.

Nama sebenar masjid ini ialah Masjid Sultan Muzhaffar Shah. Ia dibina selepas Melaka diserang Portugis iaitu selepas tahun 1511. Masjid ini menjadi pusat rasmi kegiatan kerajaan Melayu ketika itu selain menjadi tempat ibadah. Masjid yang berusia lebih 500 tahun ini dibina dengan ciri timur tengah dan kepakaran tempatan. Batu-batanya diikat dengan campuran beras pulut hitam, kulit kerang, telur putih dan manisan cair. Masjid ini juga turut dikaitkan sebagai tempat persinggahan Hang Tuah dalam perjalanan mengejar Raja Bersiong yang lari ke Siam. Pada tahun 1786, masjid ini runtuh akibat peperangan antara Pattani dan Siam. Siam inginkan tanah Kerisik yang dikuasai Kerajaan Melayu. Diplomasi Siam telah menyebabkan British menyerahkan Tanah Melayu itu kepada Siam. Sebagai masjid Di Raja, masjid ini telah beberapa kali musnah akibat serangan kerajaan Siam dan Palembang. Pembangunan yang dibuat sering tidak dapat diteruskan kerana perebutan kuasa yang kerap berlaku. Kubah masjid pernah runtuh akibat peperangan dan diganti dengan emas. Namun apabila berlaku peperangan, kubah itu dicuri. Lantaran itulah, kubah masjid tidak diganti-ganti sehingga kini.

Dalam hujan lebat kami meneruskan perjalanan pulang ke Malaysia setelah misi menziarahi tiga masjid utama di Thailand berjaya. Walaupun kepenatan, kami tetap meneruskan perjalanan dengan cuaca yang baik ketika tiba di Amphoe Yaring. Jalan yang lurus di sana dengan dua lorong memudahkan perjalanan kami walaupun terpaksa menempuh banyak road block. Cik Din YP tetap bersemangat ride walaupun penat. Kami berhasrat untuk keluar melalui Takbai menuju ke Pengkalan Kubur. 5 kilometer sebelum Takbai kami berhenti mengisi minyak kerana motorsikal Cik Din YP sudah menghampiri paras reserve.

Pada jam 4.30 petang kami memasuki pekan Tak Bai dan terus ke Jeti Tak Bai namun setibanya di kaunter kastam Thailand brader Kastam tu maklumkan dalam Bahasa Melayu Kelantan yang kedua-dua feri rosak. Terpaksalah kami keluar dari pekan Tak Bai dan  meneruskan lagi 30 kilometer ke pekan Sg Golok untuk masuk ke Malaysia.

Terima kasih kepada penyokong, sponser dan penyumbang ride ini iaitu A ZHAR Group (AG), Dato Azhar, Ja Mumin, KK RZ Btg Kali, Binjai Homestay Chendering, arwah Zaiful, Amin Haji Matdaud, Eddy Ideas II, Pok Tek Wadi, Kafe Kopi Kaktus, Kedai Bunga Suri, Jeff LC Tong,  NKS Sport Bikers Sdn. Bhd. dan Majalah Kapcai.

Blog at WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started