Cik Din YP Jelajah Kelantan

Pada 6 hingga 10 Julai 2017, Cik Din YP sekali lagi meneruskan misi ride beliau ke Kelantan memenuhi jemputan dari VKB menghadiri Kelantan International Bike Week 2017 yang diadakan di perkarangan Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.

Dengan diiringi oleh Presiden RD Club Malaysia, Azhanyzam bin Zakaria, Cik Din YP mula bertolak ke Kelantan pada pagi 6 Julai 2017 dari Kuala Lumpur pada jam 11:30 pagi. Diiringi cuaca yang baik, perjalanan lancar melalui Lebuhraya Pantai Timur. Kami tiba di Hentian Rehat Temerloh jam 1:30 tengahari dan berhenti untuk makan dan merehatkan badan.

Perjalanan diteruskan semula dan kali ini perhentian seterusnya ialah di Petronas Hentian Gambang pada jam 3:30 petang bagi isian petrol. Tangki diisi sepenuhnya kerana perhentian seterusnya ialah di Hentian Sebelah Kijal dimana terdapat satu stesyen minyak mini iaitu satu-satunya stesen minyak terakhir di Lebuhraya Pantai Timur. Setelah mengisi petrol, kami berhenti di Hentian Rehat Paka pada jam 5:30 petang bagi minum dan merehatkan badan.

Dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu dari Hentian Rehat Paka, hujan turun dengan lebatnya. Kami memasuki susur masuk Kuala Telemong hingga ke Rusila. Alhamdulillah kami tiba di Homestay Binjai, Chendering pada jam 7:00 petang. Pada sebelah malam kami berehat kerana keesokan paginya kami akan bertolak ke Kota Bahru pula.

Pada 7 Julai 2017, kami bersiap-siap untuk ke Kota Bahru. Sebelum bergerak kami singgah di untuk minum pagi bersama-sama dengan Lan Lc Terengganu. Perjalanan diteruskan melalui laluan Gong Badak dan pesisir pantai. Perjalanan agak selesa kerana laluan agak lengang memandangkan cuti hujung minggu di Pantai Timur. Pemandangan pantai di Penarik memberi semangat baru pada kami untuk ride. Kami berhenti di Medan Selera Permaisuri untuk makan tengahari sebelum meneruskan perjalanan kami ke Kota Bahru. Kami tiba di Kota Bahru pada jam 3:00 petang dan terus ke perkarangan Stadium Muhammad. Pada jam 5:00 petang berlangsung acara perasmian Kelantan International Bike Week 2017. Cik Din YP dengan bantuan dari Amin Hj MatDaud, sahabat dari Golok Riders Club (GRC) berjumpa dengan pengacara majlis mengutarakan hasrat menyerahkan cenderamata kepada Menteri Besar Kelantan yang dijadualkan merasmikan event tersebut. Walaupun Menteri Besar tidak dapat hadir petang itu kerana ada acara di Pahang, Cik Din YP berjaya menyerahkan cenderamata kepada wakil Menteri Besar iaitu Datuk Abdul Fattah Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan.

Cik Din YP turut mendapat tumpuan media yang menemubual pengalaman beliau ride dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru sejauh 600 km di usia 72 tahun. Para pengunjung KIBW juga tidak melepaskan peluang bergambar dengan Cik Din YP. Rata-rata kagum dengan semangat Cik Din YP yang masih bersemangat untuk ride dalam jarak yang jauh itu. Pada sebelah petang kami check in di penginapan kami iaitu D Villa Inn. Selepas maghrib, sahabat kami, WAdi PT berkunjung ke penginapan kami bagi menghantar nasi kukus untuk makan malam kami.  Memandangkan kepenatan ride selepas menjamu selera kami menghabiskan masa dengan berehat sepanjang malam.

Pada keesokan harinya jam 9 pagi kami bergegas ke perkarangan Stadium Muhammad IV bagi menyertai konvoi ke Maahad Tahfiz Darul Ulum di Kampung Meranti, Pasir Mas bersama Dato’ Awie. Selesai konvoi, kami bergerak dengan dipandu arah oleh bro Hamizan ke Pulau Melaka bagi menziarahi pusara Almarhum Tuan Guru Nik Aziz, mantan Menteri Besar Kelantan yang disayangi semua. Disana kami sempat berdoa dan sedekahkan ayat Al Quran untuk Almarhum. Selepas itu kami ke Masjid Pulau Melaka untuk solat zuhur. Memandangkan kami belum menjamah makanan lagi, bro Hamizan membawa kami ke Kedai Din Raja Air Nyiur bagi makan tengahari. Selepas itu kami ke hotel penginapan bagi berehat. Pada sebelah malam pula kami dibawa oleh bro Faisan ke Wakaf Che Yeh dan makan malam di Samme Maggi Tiram berhadapan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa.

Pada Ahad, 9 Julai 2017, seperti yang dijadualkan, kami akan bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Awal pagi lagi kami mendapat panggilan dari Wadi PT meminta kami ke Pasir Hor untuk sarapan pagi. Tiba di Pasir Hor, membawa kami ke Ja Nasi Ayam Kampung Madu. Ingatkan sarapan pagi yang ringan rupanya kami dijamu dengan nasi putih berlaukkan ayam kampung bermadu dan teh ais madu. Alhamdulillah rezeki kami.

Selepas makan kami kembali ke penginapan bagi bersiap untuk check out. Sebelum bergerak sahabat kami Faisan singgah berjumpa kami lagi bagi memberi kami sebungkus besar keropok sira. Itulah keindahan rakyat Kelantan yang kami alami sendiri iaitu mereka memuliakan dan melayan tetamu dengan cukup baik sekali. Itupun ramai lagi sahabat Kelantan yang ingin bertemu dengan kami namun gagal disebabkan kami kesuntukan masa.

Kami bergerak ke Terengganu pada jam 12:30 tengahari dan berhenti di Besut untuk minum dan bertemu dengan sahabat Sha Reza di situ. Dalam perjalanan selepas Besut kami terpaksa menempuh hujan yang lebat. Namun hujan berhenti di Permaisuri dan kami berhenti di pantai Penarik bagi berehat dan makan petang. Selepas bergambar seketika di tepi pantai Penarik kami meneruskan perjalanan dan tiba di Homestay Binjai, Chendering, Kuala Terengganu pada jam 6:00 petang. Kami berehat bagi mendapatkan tenaga untuk ride ke Kuala Lumpur keesokan harinya.

Keesokan paginya selepas minum pagi bersama Lan Terengganu di gerai hadapan homestay, kami bergerak ke Kuala Lumpur melalui laluan LPT2. Sempat lagi kami singgah di kedai keropok di Rusila bagi membeli keropok sebagai buah tangan. Cuaca yang agak redup melancarkan perjalanan kami. Namun apabila tiba di Karak, hujang turun dengan lebatnya hingga ke Hentian Tol Gombak. Kami tiba di Hentian Tol Gombak pada jam 5:00 petang. Memandangkan hari tersebut merupakan hari bekerja, jalan agak sesak dengan kenderaan. Kami tiba dirumah masing-masing pada jam 7:00 petang setelah menempuh perjalanan sejauh 1200 km pergi dan balik. Alhamdulillah Cik Din YP masih bertenaga setelah ride sejauh itu malah masih bersemangat untuk ride jauh lagi. Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada penaja, penyumbang dan penyokong iaitu Wan Sri Changgung, bro Sham Bedoqstar, Aley Jim, Faisan Ismail, Wadi PT, Jazman Jernail Singh, Lan LC Terengganu, Hamizan, Homestay Binjai, VKB, Amin Hj MatDaud dan bro Abu Zaki Abu Bakar.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started