Yamaha XJ 650 Turbo Dari Shah Alam

Jika sekali pandang mungkin kita menyangka motorsikal ini merupakan superbike retro yang biasa. Tetapi jika diperhati dengan teliti, motorsikal ini merupakan jenis Yamaha XJ 650 Turbo yang amat jarang kita jumpai lagi-lagi di Malaysia. Motorsikal ini yang dikeluarkan seawal tahun 1982 merupakan model sport touring. Dengan cc sebanyak 653.00 ccm (39.85 cubic inches) enjin jenis 4 lejang sebaris (In-line four, four-stroke), ia boleh menjanakan kuasa sebanyak 90.00 HP (65.7 kW)) @ 9000 RPM. Walaupun dengan kelajuan 5 gear, kelajuan maksimum yang berjaya diperolehi adalah 203.0 km/h  atau 126.1 mph yang mana merupakan kelajuan yang agak maksima ketika itu bagi motorsikal seangkatan dengannya. Pemacuan terakhir motorsikal ini menggunakan sistem shaft drive (Cardan). Tayar hadapan bersaiz 3.25-19 manakala tayar belakang menggunakan saiz 120/90-18.

Motorsikal seumpama ini merupakan legenda dan dikategorikan sebagai jentera ‘rare’. Pemiliknya Jalut Hakim dari Shah Alam berkata, hanya yang mempunyai minat yang tinggi sahaja sanggup menjaga dan memelihara motorsikal seumpama ini kerana kesukaran mendapatkan alat ganti di pasaran tempatan. Lebih-lebih lagi memang susah mendapatkan mekanik yang tahu membaiki dan menyelenggara motorsikal ini. Mujur pemilik dan adik beradik beliau merupakan mekanik motorsikal jadi beliau membaiki motorsikal ini di rumah sahaja.

Tahniah kepada Jalut Hakim kerana masih sanggup memelihara jentera yang hampir pupus ini. 

Majlis Iftar RD Club Malaysia 2019 Di Tabong Hj Lama

Pada 25 Mei 2019, telah berlangsung Majlis Iftar RD Club Malaysia bertempat di Restoran Nasi Kandar Hj Sulaiman, Jalan Rahmat Off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Majlis ini diadakan sebagai aktiviti RD Club Malaysia di bulan Ramadhan disamping mengeratkan silaturrahim antara sesama ahli. Majlis yang diadakan selepas Asar itu mengumpulkan ahli-ahli lama dan baru samada masih menggunakan motorsikal retro ataupun tidak. Ada juga dikalangan ahli yang tidak bertemu sesama sendiri sejak 10 tahun yang lepas. Pertemuan ini juga membangkitkan emosi dan nostalgia lebih-lebih lagi mengenangkan kisah-kisah lama ketika muda dahulu. Ada yang dari batch tahun 1998, 2000, 2003 dan 2009. Walaupun berbuka puasa secara ala kadar sahaja namun suasana majlis amat meriah. Ini merupakan tahun kedua majlis ini diadakan di lokasi yang sama bagi mengimbau port zaman mat motor yang dipanggil Tabong Hj Lama pada tahun 80an dan 90an.

Setelah azan maghrib berkumandang, selepas berbuka ala kadar, masing-masing ke surau Perkim bersebelahan restoran untuk solat maghrib. Selepas selesai solat maghrib acara diteruskan dengan sessi ramah mesra dan bertukar-tukar cerita lama. Turut hadir ialah wakil dari Team YPang iaitu Bro Jepp dan Din iaitu geng YP Dayabumi yang aktif di tahun 80an dan 90an. Juga turut memeriahkan majlis ialah ahli RD Club Malaysia dari Temerloh, Pahang. Majlis berlanjutan hingga jam 12 malam dan masing-masing berjanji untuk bersama-sama lagi di Majlis Aidilfitri RD Club Malaysia di bulan Syawal nanti insya Allah.

‘Come Ride With Us’

Sungai Golok International Bike Meet kali ke 2

Pada 18 September 2015, telah berlangsung Sungai Golok International Bike Meet kali ke 2 anjuran Golok Rider Club Thailand di Sg Kolok, Thailand. Program seumpama ini merupakan inisiatif sendiri oleh Datuk Bandar Golok bagi menjalinkan hubungan baik antara Malaysia dan Thailand disamping sebagai salah satu usaha menggalakkan industri perlancongan di sana. Datuk Bandar Golok juga merupakan bikers yang aktif dan memberikan banyak kerjasama dalam merencanakan industri perlancongan permotoran.

Pada jam 11 pagi pergerakan konvoi bikers Malaysia bertolak dari Rantau Panjang memasuki sempadan diiringi oleh bro Hasanal Bolkiah terus menuju ke tapak program dan disambut dengan mesra oleh penganjur program iaitu Amin Hj Matdaud. 1000 peserta terawal bertuah menerima tshirt event percuma beserta kaychain khas. Seperti Sg Kolok Bike Week 2015, penyusunan tapak event memang teratur dan bersistematik dengan gerai jualan makanan halal serta surau yang berdekatan.

Pada jam 4 petang diadakan konvoi Santai Ride mengelilingi Bandar Golok diketuai oleh Datuk Bandar Golok sendiri. Konvoi yang terdiri lebih dari seribu buah motorsikal tersebut menarik perhatian penduduk dan seronok melihat kanak-kanak gembira melambai-lambai ke arah perjalanan konvoi.

Pada jam 8 malam diadakan konsert yang menampilkan band tempatan yang hebat iaitu Blackrose dan The Halabala. Persembahan konsert berlarutan hingga ke jam 1 pagi dengan gabungan lagu-lagu yang hebat dan lagu terakhir menutup tirai Sungai Golok International Bike Meet kali ke 2.

Moga bertemu di Sungai Golok International Bike Meet kali ke 3 insya Allah.

Teks dan gambar oleh Azhanyzam bin Zakaria

Pengambaran Video Clip Lagu ‘Pecutan Impian’ Bersama Geng Retro

Pengambaran Video Clip Lagu ‘Pecutan Impian’ Bersama Geng Retro

Pada 22 Disember 2018 seramai 50 rider motorsikal retro telah berkumpul di Taman Rimba Templer seawal jam 8 pagi lagi bagi menjayakan klip music video lagu ‘Pecutan Impian’ nyanyian Kazar Saisi. Kehadiran geng motorsikal retro tersebut diuruskan oleh bro Khairul Nizam Yacob atau lebih dikenali sebagai Baba Zam dengan bantuan dari Mamatkapar Retromania 2019.

Klip music video tersebut turut menampilkan anak perempuan Kazar sendiri iaitu Ira yang tampil sebagai gadis motor di akhir video. Motorsikal YP Azura yang pernah tampil dalam filem Azura pada tahun 1984 menjadi tunggak utama dalam music video ini dengan Kazar turut menunggang motorsikal tersebut. Dari Taman Rimba Templer, pengambaran music video tersebut beralih ke Highway LATAR dan terus ke Hentian Rehat LATAR. Walaupun panas terik namun rider-rider retro tetap tabah mengharungi pengambaran walau dibasahi peluh yang mencurah-curah. Tahniah kepada geng motor retro yang terlibat.

Menurut pencipta lirik lagu Pecutan Impian ini, Mahathir Mohd Rawi atau lebih dikenali sebagai DetMenZa berkata, lagu ni dicipta khusus untuk Kazar dengan idea asal adalah bagi memberi pesanan kepada semua rider bahawa menunggang motor ini mesti dilakukan dengan tujuan yang positif. “Saya dan abang Kazar cuba untuk memberi kesedaran kepada mat-mat rempit melalui lagu ini, kerana mereka menunggang dengan cara yang merbahaya serta tiada hala tuju. Jika diteliti bait-bait lirik ada menyebut tentang pesanan supaya ingat orang yang tersayang seperti ‘mengapa perlu engkau resah aku pergi hanya sementara’. Dengan bermaksud supaya kita menunggang dengan tujuan untuk balik dengan selamat.

Ada juga bait lirik seperti ‘demi memenuhi impian dan cita cita kita berdua’ yang ditujukan khas buat penunggang motor yang hari-hari keluar bekerja dengan menunggang motorsikal. Secara umumnya lagu ini sebati dengan kehidupan seharian kita dimana pelbagai rintangan yang perlu kita tempuhi.  Bait terakhir lirik iaitu ‘pecutan impian bukan satu sesalan’ bermaksud jangan jadikan tungangan kita satu kerja yang sia-sia. Lagu ini juga saya hasilkan atas niat supaya abang Kazar dapat membuat ‘comeback’ selepas 33 tahun sepi tanpa lagu dimana lagu terakhir iaitu Memburu Impian merupakan lagu pada tahun 1985. Dalam proses mencipta lagu ini, saya cuba mendalami degan menunggang motosikal ke tempat kerja bagi menyelami pengalaman dan perasaan penunggang motorsikal. Lagu ini sebenarnya untuk semua golongan namun saya lebih mengkhususkan khas untuk penunggang motosikal, dengan pesanan yang amat jelas iaitu berhati-hati semasa menunggang, ‘ride with purpose’ dan secara tidak langsung boleh memberi keinsafan kepada para penunggang terutama mat rempit.

Bagi yang ingin menonton video clip rasmi lagu Pecutan Impian boleh membuka youtube di pautan :  https://youtu.be/xYuHupf_W78

Pecutan Impian

Keringat membasahi pipi

Ku nyalakan api untuk memulai

Perjalanan penuh cabaran

ku rempuhi segala kesesakan

Ku pulas dengan seluruh tenaga

Tapi aku tabah demi cita-cita

Hasrat ku yang membara

Memecut ke puncak impian kita

Mengapa perlu engkau resah

Aku pergi hanya sementara

Demi memenuhi impian

Dan cita-cita kita berdua oooo

Hujan badai ku rintangi

Asap debu meliputi

Asalkan engkau setia

Impian kita kecapi

Segala impian kita

Akan aku pertahankan

Pecutan impian bukan satu sesalan

Lagu /lirik : DetMenZa

Penyanyi : Kazar

Blog at WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started