TTS MERDEKA MAT MOTOR 2018

Pada 1 September 2018 telah berlangsung program TTS Merdeka Mat Motor bertempat di tapak pasar malam Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor. Bersempena dengan program tersebut, diadakan konvoi dari Masjid Hijau, Subang Airport pada jam 6.45 petang diketuai oleh Masrhall Zaidi ARC menuju ke Masjid Al-Islamiyyah, Kg Lindungan, untuk solat maghrib berjemaah. Selepas selesai solat, konvoi bergerak ke tapak program diketuai oleh Mawi dari Persatuan Kebajikan Sahabat 565. Setelah para peserta tiba di tapak program, peserta mendaftar untuk kupon lucky draw dan makan minum percuma dengan menu minuman panas dan nasi lemak serta kuih muih. Hampir 1000 pengunjung hadir ke majlis ini.

Program dimulakan oleh ucapan selamat datang oleh pengerusi majlis iaitu Ustaz Ahmad Nazri dan disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku beramai-ramai. Setelah itu diadakan sessi bacaan ikrar Rukun Negara oleh Muhammad Haziq Bin Munir dari Persatuan Kebajikan Sahabat 565 dan bacaan doa oleh Ustaz Fazdi. Majlis diteruskan semula dengan persembahan busking oleh Archid Ekamatra diselang selikan dengan cabutan bertuah.

Program disambung dengan Sembang Santai Mat Motor dengan kendalian moderator iaitu Ustaz Ahmad Nazri dan penampilan panel khas yang juga selebriti terkenal iaitu Saiful Apek dan Bob Lokman. Gelagat mereka menarik minat penonton lagi-lagi dengan senda gurau dan lawak jenaka membuatkan suasana ceria. Achid Ekamatra dan Abang Bob Lokman turut mengisi majlis dengan pelbagai nasihat dari orang lama untuk orang muda.

Turut dijemput sebagai panel ialah saudara Mawi 565 dari Persatuan Kebajikan Sahabat 565 dan Cik Din YP dari RD Club Malaysia, otai bikers yang berumur 73 tahun. Turut hadir juga ialah Dr Hajjah Halimah yang memberikan sedikit ucapan walaupun dalam kesibukan beliau. Ustaz Hanafi juga turut menyampaikan pidato beliau yang bersemangat diikuti oleh ucapan ringkas dari saudara Afif Farhi Othman, Exco Pegerakan Pemuda UMNO Malaysia. Majlis diakhiri dengan doa wehdah, salawat dan tasbih kifarah sebelum majlis bersurai.

Pengarah Program TTS MERDEKA MAT MOTOR, saudara Jai mengucapkan terima kasih kepada Dewan Pemuda PAS SELANGOR & Malaysia , Sahabat-sahabat Pegerakan Pemuda UMNO Selangor Dan Malaysia, Jabatan Amal Malaysia , Persatuan Kebajikan Sahabat 565 , RD CLUB Malaysia , Persatuan Pasar Malam Taman Medan dan Kelab – Kelab Motor yang hadir. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua petugas ARC Selangor yang sama-sama bermandi peluh penuh komitmen menjayakan tugas yang diamanahkan serta turut  memohon maaf diatas kekurangan dan kelemahan ketika pengendalian program ini. Semoga program-program permotoran akan datang dapat diadakan dengan lebih giat lagi dengan sokongan dan bantuan sahabat-sahabat permotoran semua. 

Majlis Iftar RD Club Malaysia 2019 Di Tabong Hj Lama

Pada 25 Mei 2019, telah berlangsung Majlis Iftar RD Club Malaysia bertempat di Restoran Nasi Kandar Hj Sulaiman, Jalan Rahmat Off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Majlis ini diadakan sebagai aktiviti RD Club Malaysia di bulan Ramadhan disamping mengeratkan silaturrahim antara sesama ahli. Majlis yang diadakan selepas Asar itu mengumpulkan ahli-ahli lama dan baru samada masih menggunakan motorsikal retro ataupun tidak. Ada juga dikalangan ahli yang tidak bertemu sesama sendiri sejak 10 tahun yang lepas. Pertemuan ini juga membangkitkan emosi dan nostalgia lebih-lebih lagi mengenangkan kisah-kisah lama ketika muda dahulu. Ada yang dari batch tahun 1998, 2000, 2003 dan 2009. Walaupun berbuka puasa secara ala kadar sahaja namun suasana majlis amat meriah. Ini merupakan tahun kedua majlis ini diadakan di lokasi yang sama bagi mengimbau port zaman mat motor yang dipanggil Tabong Hj Lama pada tahun 80an dan 90an.

Setelah azan maghrib berkumandang, selepas berbuka ala kadar, masing-masing ke surau Perkim bersebelahan restoran untuk solat maghrib. Selepas selesai solat maghrib acara diteruskan dengan sessi ramah mesra dan bertukar-tukar cerita lama. Turut hadir ialah wakil dari Team YPang iaitu Bro Jepp dan Din iaitu geng YP Dayabumi yang aktif di tahun 80an dan 90an. Juga turut memeriahkan majlis ialah ahli RD Club Malaysia dari Temerloh, Pahang. Majlis berlanjutan hingga jam 12 malam dan masing-masing berjanji untuk bersama-sama lagi di Majlis Aidilfitri RD Club Malaysia di bulan Syawal nanti insya Allah.

‘Come Ride With Us’

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

Design a site like this with WordPress.com
Get started